Mentaliti Hamba

www.tips-fb.com

Saya amat tertarik dengan situasi politik dalam ketika ini. Begitu juga dengan masyarakat sekeliling yang kadangkala telah terikat dengan satu idea yang agak lapuk untuk diperkatakan pada zaman moden ini iaitu “pemikiran hamba”. Apakah ianya wujud dalam realiti? Jawapannya “YA” ianya masih wujud. Kalau kita katakan sudah tidak wujud, maka pemikiran kita masih terperangkap dalam tempurung dan kita cuma terkurung dalam lingkungan kecil sahaja. Cuba kita fikirkan setiap malam sebelum tidur sambil menggosok gigi depan cermin, membuat refleksi, sambil meluaskan minda, kita akan dapat jawapan persoalan ini. (Refleksi ini juga amat baik dalam memajukan diri kita sendiri dari segi kaunseling)

Pemikiran hamba atau mentaliti hamba yang saya cuba gambarkan disini bukannya dari segi yang sama dengan manusia pada zaman dahulu (perdagangan manusia kepada manusia lain). Perkara yang saya cuba bincangkan disini ialah mencakupi mentaliti kita yang masih dipunyai oleh hamba. Apakah kita seorang hamba? Sudah pasti jawapan yang akan diberi ialah TIDAK. Tidak ada orang yang mengaku hamba di muka bumi ini. Hamba biasanya golongan yang dianggap hina kerana tidak mempunyai hak dalam menyatakan pendapat dan hanya menuruti perintah. Seseorang itu tidak akan mempunyai hak, sehingga mereka bebas dan merdeka.

“The most violent element in society is ignorance.” Emma Goldman

Mengapa katakan tidak untuk dipanggil hamba? Sedangkan ramai antara kita masih mengiyakan rasuah, kezaliman dan ketidakadilan? Saya dapat lihat sendiri ramai dikalangan kita rakyat Malaysia walau sudah merdeka selama 53 tahun dan Sabah yang telah merdeka selama 47 tahun masih lagi terkongkong dari segi pemikiran. Senario paling mudah ialah tentang membanggakan barangan import dari luar negeri. Sedangkan ADUN sendiri ramai yang yang memakai kereta-kereta import untuk status sedangkan mereka menjadi contoh terbaik untuk masyarakat yang memilih mereka.

Itu cuma perkara kecil tapi masalah terbesar sebenarnya ialah politik wang atau rasuah. Kalau kita lihat sendiri dalam pemilihan pemimpin disuatu kawasan, wang akan disogok bagi pengundi bagi mengundi seseorang calon itu. Dan jawapan yang kita akan dengar biasanya kami akan sokong orang yang ada duit atau wang. Tanpa mereka ketahui, calon tersebut telah menggunakan wang rakyat atau wang kita bagi menyogok pengundi. Satu lagi isu, apakah calon tersebut sebenarnya adil?

Mungkin ya atau mungkin tidak. Saya tertarik dengan seorang ADUN yang telah menang pilihanraya pada pilihanraya yang lepas. Dia telah menang dengan majoriti yang sedikit oleh calon yang satu lagi. Dalam satu kes, anak ADUN tersebut telah ditangkap oleh pihak berkuasa kerana berkelakuan tidak senonoh dengan mengganggu ketenteraman dan mabuk arak. (Anak beliau mencabar pihak berkuasa yang dia anak ADUN dan tidak boleh diapa-apakan). Maka datanglah ADUN tersebut “membantu” anaknya. Dengan memarahi pihak berkuasa berkenaan. ADUN tersebut telah berlaku sangat “ADIL” dalam kes ini dengan menegakkan benang basah. Untung sahaja saya tidak ada telefon berkamera masa itu. Sama juga dengan seorang yang begitu “lantang” bersuara ketika di parlimen tapi akhirnya terdiam akibat kesalahan yang dilakukankannya.

Apakah ini pemimpin yang kita inginkan? Kalau diikutkan mentaliti hamba, YA ini yang kami inginkan. Dalam kes lain sewaktu banjir besar di Kota Marudu, Sabah dalam tahun 2008, terdapat bantuan dalam bentuk beras dan keperluan asas untuk diagih-agihkan kepada mereka yang memerlukan. Dalam keadaan itu, ada segelintir orang yang masih boleh berfikir sewaktu masa pengagihan dengan mengatakan “Kami tidak boleh bagi mereka, kerana mereka bukan ahli dan penyokong parti [toot]!”. Maka seorang hamba Allah dengan nada tinggi menyuruh mereka yang berkata demikian untuk makan semua bantuan itu kalau mereka tidak ingin agihkan masa itu juga. Baru mereka berikan. Ternyatalah mereka ini golongan hamba. Pemimpin biasanya cermin bagi pengikut dan pengundinya. Zalim pemimpin maka zalimlah pengikut. Ini yang saya tafsirkan sebagai mentaliti hamba. Ianya telah diterapkan dengan teknik “brainwashing” dalam benak mereka.

Satu lagi yang paling besar ialah pembezaan kaum. Sifat ini ingin saya tekankan sekali lagi (post sebelum ini terdapat di sini) kerana sifat ini ialah tinggalan penjajah. Sifat Nasionalis yang menitik beratkan perjuangan untuk kepentingan mereka sendiri dengan kemusnahan. Dalam bahasa arab, di panggil asabiyah. Mereka akan mengatakan yang mereka memperjuangkan kedaulatan negara mereka tetapi sebenarnya mereka telah melakukan sikap membezakan ras atau perkauman. Sifat Nasionalis begini menurut Islam tidak berlandaskan nas Al-Quran dan Sunnah Rasulullah (saw) dan ini amatlah dikeji sama sekali. Saya percaya kita-kitab lain juga amat membenci perkara seperti ini. Kita tidak ada hak menilai seseorang itu kerana Tuhan tidak memandang seseorang itu kerana bangsa mereka tetapi keimanan mereka. Sekiranya seseorang itu menghina kaum lain, maka mereka juga tidak lebih dari kumpulan fahaman zionis di Israel.

Saya kaitkan mentaliti hamba disini ialah kerana biasanya seorang hamba amat takut dengan kaum lain kerana mentaliti mereka telah dirosakkan untuk statik menjadi hamba. Mereka biasanya akan mengeluarkan panggilan-panggilan seperti menyindir dan mengeji. Tetapi sebenarnya mereka seperti meludah ke langit dan terkena muka sendiri. Ianya berlaku sekarang, dan apakah kita sebagai bangsa bermaruah  tidak menentang perkara seperti ini? Mentaliti hamba ini biasanya dengan penyebaran surat layang, menggunakan gambar palsu dan identiti palsu kerana mereka amat takut dan kerana mereka tidak berkata benar. Mereka juga sering merungut tentang sesuatu perkara untuk kepentingan mereka sendiri.

Jadi, sampai bila kita ingin tidak bersuara? Apakah kita masih terus takut? Ingatlah sekiranya anda masih ingin terus dilabel sebagai hamba, teruskan sifat mengagungkan mereka yang mempunyai wang (walau itu adalah wang rakyat), menyokong ketidakadilan dengan memilih pemimpin yang hanya “cakap tak serupa bikin”. Atau masih menyokong kezaliman seperti masih menghina kaum lain dan melakukan kejahatan. Teruskan nescaya kamu akan digelar HAMBA SAHAYA sebenarnya kerana cuma mengikut kata syaitan dan telunjuk serta perintah dari mereka yang zalim.

Saya amat bersetuju dengan “Dasar Pandang Ke Timur” yang dilaksanakan pada awal tahun 80-an. Pada masa tersebut kita diminta mencontohi kemajuan dan idea masyarakat Jepun (sebelum Korea) untuk berdaya saing dan maju. Mengapa tidak ada pemimpin kita yang meletak jawatan seperti pemimpin negara “Matarahari Terbit” sekiranya sudah tidak dipercayai rakyat atau pemilih? Jawapannya kebanyakannya masih mahu kekal dengan pelbagai alasan untuk kepentingan poket mereka sendiri. Kebanyakan orang berpolitik kerana wang dan bukan perjuangan sebenar berdasarkan kepercayaan dan amanah. Hasilnya, samalah seperti apa yang keluar dari lubang najis mereka iaitu tahi atau “shit” seperti novel Sasterawan Negara Shahnon Ahmad yang dikatakan tidak mempunyai unsur sastera. Sebenarnya, novel tersebut berunsur satira tetapi mereka yang bermentaliti hamba tidak dapat menerimanya.

Kita bebas bersuara, bebas memilih dan bebas untuk menegakkan keadilan. Kita hormati undang-undang dan suarakan perpaduan. Apakah kita ingin memlilih pemimpin yang menghina orang lain? Atau apakah kita masih percaya dengan seseorang yang pernah disabitkan kesalahan merogol kanak-kanak atau membunuh misalnya? Atau, kita suka mereka yang menabur fitnah? Ingatlah semua, rakyat bukannya hamba walau dalam memilih pemerintah kerana “Kerajaan harus takut dengan rakyat dan bukannya rakyat takut dengan kerajaan” dalam istilah demokrasi dan sekiranya ada kerajaan yang mengancam dan pemerintah yang menakut-nakutkan rakyat, tumbangkanlah dengan hak kita yang diberi. Dari konteks Islam sendiri, memang diwajibkan mengambil sesuatu keputusan yang terbaik berdasarkan pandangan ramai orang. Jadilah manusia bermaruah kerana  KITA ADALAH RAKYAT BEBAS UNTUK BERSUARA. Sekian.

*Penulisan ini bukanlah berpihak dengan mana-mana parti politik sedia ada atau mendapat bayaran dari pihak tertentu. Lebih diutamakan pemimpin yang baik serta boleh menjadi contoh, baik dari segi mudah menerima pandangan rakyat atau mudah ditemui rakyat (bukan ditemui di mana-mana dengan papan iklan yang besar yang diletak bertahun-tahun lamanya kerana itu lebih kepada pemimpin PERASAN dan menjadi bahan ketawa masyarakat).
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Another Entry From Friends:

Say No To IE (Internet Explorer)

Photobucket