Nenek

www.tips-fb.com
"Atung, magpamung sug na kau bang di' kau mamung sug, miatai na bahasa ta" pesan nenek yang sebenarnya dalam bentuk paksaan kepada ku supaya berbahasa Suluk atau Sinug (bahasa Tausug/Suluk). Nenek cuma takut yang dialek/bahasa kami akan hilang kalau aku tak bercakap dialek tersebut.

Aku adalah cucuk nenek yang amat suka bertanya itu ini dengan nenek terutama tentang salasilah keluarga kami sebab aku nak tahu keluarga terutama adik beradik nenek bagaimana. Apatah lagi kampung kami di Kg. Tanjung Batu Laut, Kota Marudu yang kebanyakannya berkait rapat semuanya. Ahli keluarga nenek semuanya sana. Dari apu' Oso, arwah apu' Pappa, apu' Jauyah semualah. Sebab itu pernah makcik berkata yang aku boleh tidur di mana sahaja di kampung sebab semuanya keluarga nenek. Arwah atuk pula orang lain.

Waktu kecil dulu masa aku mengaji, nenek akan duduk tepi pintu bilik dia. Dia suka dengar aku mengaji. Dia kata, aku dulu pernah mengigau mengaji dan aku alunkan suara sedap sekali. Dia juga kata yang kalau kita tak dapat pergi Mekah, cukup sahaja kita khatam Quran sudah memadai. 

Nenek selalu bagi aku makanan. Sebab dia takut aku kelaparan. Apatah lagi dulu waktu aku baru tingkatan 1 dan 2 aku bersekolah di SMK Tandek, Kota Marudu. Masa tu mak pun tinggal sana sebab abah kerja di Tawau. Waktu tu juga aku belajar cari makanan sendiri dengan turun ke laut dan nenek aku akan ketawakan aku sebab dia kata nanti aku hitam. Lucu kalau aku kenang tapi aku dapat banyak juga ikan hasil memukat atau memancing.

Dulu, aku balik kampung aku terus ke tempat makcik. Nenek pun rindu ngan aku sebab dia ingat aku dah tak ingatkan dia. Aku terus ke tempat nenek sebab aku juga rindu nenek dan rindu dengan bunyi laut. Bunyi laut menghempas ke pantai. Buat aku lema tidur. Hingga sekarang kalau aku takleh tidur, aku akan dengar rakaman bunyi ombak menghempas pantai. 

Waktu aku dimarahi, nenek juga lindungi aku. Atau aku demam, nenek bagi ubat walau ubat tu juga paracetamol, aku hargai juga. Cuma lama kelamaan rumah nenek dah pindah ke darat dan bukan lagi atas laut. Ombak dan laut yang selama ini menjadi terapi kepada aku dah tak ada. Cuma kalau aku rindu, aku akan berjalan ditepi pantai atau ke jeti. 

Pagi Khamis 16 Jun 2016, aku terkejut mendengar berita yang nenek sakit tenat dan mereka kata nazak. Aku tahu nenek kiat dan nenek tak akan menyerah begitu sahaja tapi pada waktu asar, nenek telah menghembuskan nafas buat kali terakhir. Aku yang tengah berdiri terasa begitu lemah kaki aku dan aku terduduk dan aku sedari airmata aku mengalir tanpa henti. Tapi aku ingat kata nenek sewaktu atuk-atuk saudara yang juga adiknya meninggal dunia dahulu dari dia, "ya Allah, bila pula masa aku. Kenapa adik aku dahulu". Aku redha kerana ini yang nenek inginkan selama ini. Ya nek, Allah dah kabulkan permintaan nenek. Al-Fatihah untuk nenek ku yang ku sayang. Cucu mu ini akan merinduimu selalu dan akan ku ceritakan kepada anak cucu ku yang nenek seorang nenek yang terbaik. Damailah kau di sana nek. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Another Entry From Friends:

Say No To IE (Internet Explorer)

Photobucket