Tuesday, July 3, 2018

Melayu Atheis - Mokhtaruddin Lasso

(1) Ini kisah mengenai seorang Melayu atheis (tak percaya kewujudan tuhan) bernama Mokhtaruddin Lasso. Dia seorang nasionalis Melayu dari zaman sebelum merdeka. Dia seorang pejuang anti-penjajah. Dan dia tak percaya tuhan. 

(2) Mokhtaruddin Lasso dilahirkan tahun 1915. Keturunan Minangkabau. Masa zaman perang Jepun, dia berjuang dalam hutan angkat senjata untuk melawan fasis Jepun yang menjajah Malaya. Lepas tamat perang, dia jadi pengasas parti politik nasionalis Melayu pertama dlm sejarah.

(3) Pada tahun 1945, Mokhtaruddin tubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) di Ipoh, Perak bersama-sama sahabat dia Ahmad Boestamam. PKMM adalah parti Melayu pertama yg memperjuangkan kemerdekaan lebih awal dari UMNO. Slogan parti PKMM mereka ialah "Merdeka". 

(4) Ramai yang tak tahu, tapi Mokhtaruddin adalah Presiden pertama PKMM. Dan Naib Presiden PKMM masa tu ialah tokoh Islam, Dr. Burhanuddin Al-Helmi (yang kemudian jadi Presiden PAS). Macam mana seorang atheis dan seorang Islamis boleh duduk dan bergerak dalam satu parti? 

(5) Pada zaman sekarang sangat mustahil untuk seorang pemimpin Islam untuk duduk di bawah kepimpinan seorang bukan Islam. Tapi pada zaman itu Dr. Burhanuddin dan nasionalis2 Melayu aliran kiri lain boleh menerima kepimpinan seorang Melayu yang atheis seperti Mokhtaruddin Lasso.

(6) Mokhtaruddin Lasso juga pernah berdebat dengan Dr. Burhanuddin tentang soal kewujudan tuhan. Ahmad Boestamam telah merakamkan satu perbualan antara Mokhtaruddin dan Burhanuddin dalam buku "Dr Burhanuddin: Putera Setia Melayu Raya” (Penerbitan Pustaka Kejora, 1972). 

(7) Di bawah ini aku kongsikan seluruh perbualan tersebut yang aku ambil dari buku Ahmad Boestamam:

“Dr. Burhanuddin, Mokhtaruddin Lasso & saya berbual-bual di pejabat harian ‘Suara Rakyat’, lidah resmi PKMM yg saya ditugaskan menjadi pengarangnya, di Jalan Brewster."

(8)  "Sechara tiba-tiba saya dengar Mokhtaruddin bertanya kepada Dr. Burhanuddin: Apakah benar Tuhan itu ada, tuan Doktor?

Pertanyaan ini dikeluarkannya sambil tersenyum.

Saya terperanjat juga mendengarkan pertanyaan itu. Tidak saya duga-duga."

(9) "Mungkin, hati saya segera menduga, Mokhtaruddin hendak menguji keteguhan Dr. Burhanuddin berugama.

Sudah tentu saja Tuhan ada, Dr. Burhanuddin menjawab pendek.

Benarkah DIA berkuasa? Mokhtaruddin bertanya lagi.

Benar, jawab Dr. Burhanuddin."

(10) "Kalau benar DIA berkuasa suruhlah DIA membuat sepasang terompah kayu sekarang dan kalau DIA boleh membuatnya saya akan percaya Tuhan itu ada dan DIA berkuasa, tetapi tidak sebaliknya, berkata Mokhtaruddin kepada Dr. Burhanuddin."

(11) "Saya melihat tepat kemuka Dr. Burhanuddin. Saya mahu memastikan apadia reaksinya kepada pertanyaan ini. Apakah dia akan menjawabnya atau apa?

Tidak syak  lagi pertanyaan Mokhtaruddin itu pertanyaan yang hanya boleh datang dari seorang ‘free thinker’..."

(12) "...seorang yang tak perchaya adanya Tuhan, seorang komunis, seorang yang bersandar bulat kepada ‘dialectical materialism’.

Dan ini tidak pula memeranjatkan saya."

(13) "Sebagai seorang bekas pejuang yang menentang Jepun yang berpengkalan dalam hutan Mokhtaruddin tak syak lagi tentu telah bergaul dan seterusnya mengikuti kursus politik komunis yang menjadi pelopor perjuangan melawan Jepun itu."

(14) "Kalau pertanyaan yg demikian dihadapkan pada para fanatik ugama atau lebai-lebai kolot dikampung-kampung kemungkinan Mokhtaruddin dilanyak serta dipukul mereka karena dituduh murtad dan menduakan Tuhan tidak mustahil. Tetapi adakah Dr. Burhanuddin akan bersikap seperti mereka itu juga?"

(15) "Inilah pertanyaan yang mula-mula timbul dalam benak saya.

Saya cemas. Hati kecil saya menyesali Mokhtaruddin karena membuat pertanyaan itu."

(16) "Masakanlah patut Tuhan diminta membuat pekerjaan yang remeh seperti membuat terompah kayu itu", Dr. Burhanuddin memberikan jawapannya dengan tenang. 

Tidak ada tanda marah dalam suaranya sewaktu memberikan jawapan ini."

(17) "Ini tidak bererti Tuhan tidak boleh membuat terompah kayu itu", Dr. Burhanuddin meneruskan kata-katanya. "DIA boleh. Kalau alam ini dapat dichiptaNYA kenapa pula perkara mudah dan kechil seperti membuat terompah kayu itu tidak boleh?"

(18) "Kalau seseorang yang pakar dalam ilmu pasti misalnya boleh menjawab masalah-masalah  yang tinggi dalam ilmu itu dengan mudahnya mustahillah dua kali lima dia tidak tahu. Itu lojik, bukan? Demikianlah ibaratnya Tuhan dengan membuat terompah kayu itu."

(19) "Kalau banyak orang, banyak manusia yang menjadi makhluk Tuhan, sudah boleh membuat terompah kayu belaka kenapakah harus diperlukan juga tenaga Tuhan untuk perkara yang remeh ini? Tidakkah itu sama saja seperti menyuruh seorang ayah mengesat hingus atau menghisap punting..."

(20) "...sedang bayi-bayi kechil pun sudah tahu belaka membuatnya?"

Mokhtaruddin Lasso saya lihat tertegun. Tetapi dia belum puas hati lagi. Dia timbulkan pula masalah lain yang berhubung dengan soal Tuhan juga."

(21) "Orang-orang Islam menyembah Tuhan yang mereka panggil Allah", kata Mokhtaruddin. "Tetapi ada juga orang yang menyembah bulan, matahari & banyak yang lain lagi. Mereka katakan benda2 ini Tuhan mereka. Bagaimanakah ini sedangkan Tuhan itu dikatakan esa, tidak dua dan tidak tiga?"

(22) "Dr. Burhanuddin tersenyum dulu sebelum menjawab pertanyaan ini.

"Ada orang yang memanggil kasut itu kasut tetapi ada pula yang memanggilnya sepatu, dia menjawab. Tetapi bukankah ‘kasut’ dan ‘sepatu’ itu benda yang satu itu juga? Begitulah pula dengan Tuhan ini."

(23) "Ada yang memanggilnya Allah, ada yang memanggilnya God, ada yang memanggilnya Tok Pekong, ada yang memanggilnya Sami, ada yang bertuhankan Bulan, Matahari dan entah apa lagi. Itu soal bahasa dan istilah seperti ‘kasut’ dan ‘sepatu’ tadi. Panggilannya saja yang banyak..."

(24) "..tetapi bendanya tetap yg satu itu juga. Ertinya Tuhan itu memang esa.

Dan kalau saudara masih ragu adanya Tuhan, tambah Dr. Burhanuddin lagi (kini seperti hendak mengajar Mokhtaruddin pula) maka hujah saudara tadi itu dapat saya kembalikan untuk menikam saudara kembali."

(25) "Bagaimana? Mokhtaruddin bertanya.

Bukankah saudara mengatakan tadi ada orang yang mengatakan bulan itu Tuhan, matahari itu Tuhan, Allah itu Tuhan dan seterusnya — masing-masing ada Tuhan yang disembahnya?

Mokhtaruddin menganggukkan kepalanya."

(26) "Dan komunis pun percayakan ‘nature’ kan?"

Mokhtaruddin menganggukkan kepalanya lagi.

"Tidakkah itu menunjukkan setiap orang perchayakan adanya Tuhan karena tidak ada orang yang mengatakan tidak ada? Ya, Tuhan itu ada dan esa."

Dr. Burhanuddin tersenyum lebar..."

(27) "...sambil memandang tepat ke muka Mokhtaruddin Lasso, menantikan reaksinya.

Mokhtaruddin mengangkat kedua-dua belah tangannya keatas dan berkata: 

‘Chukuplah setakat itu saja tuan Doktor dan kita kira seri — tak kalah tak menang’."

(28) "Saya mengikut saja, meningkah Dr. Burhanuddin. Kalau chukup kata saudara chukuplah, kalau tak chukup ayoh lagi.

Perdebatan itu berhenti setakat itu saja.”

Di atas adalah petikan penuh dari buku Ahmad Boestamam.

(29) Itulah ceritanya. Cuba bandingkan jawapan tenang Dr. Burhanuddin bila berdialog dengan seorang atheis Melayu dengan komen-komen  yang kita baca di media sosial sekarang. Kalau Mokhtaruddin Lasso masih hidup sekarang dah pasti dia kena kecam dan kena "bash" oleh budak-budak Melayu di media sosial.

*Sumber: Pelbagai